Pingat emas dimenangi atlet gimrama negara ditarik balik

KONTINJEN Malaysia kehilangan satu pingat emas yang dimenangi atlet gimrama negara Izzah Amzan selepas Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina (PHISGOC) menarik balik pingat itu.

Izzah sebelum ini diumum pemenang emas bersama rakan senegara, Koi Sie Yan selepas kedua-dua atlet berkenaan mengumpul mata sama dalam aparatus riben wanita akhir.

Sebaliknya, Izzah sekadar diberikan perak berdasarkan kedudukan pingat terbaru disiarkan di laman web rasmi Sukan Sea 2019 Filipina.

Difahamkan, ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada penganjur berhubung keputusan itu dalam mesyuarat ketua kontinjen pagi ini.

Sabtu lalu, bantahan kontinjen Malaysia terhadap keputusan juri dalam acara riben membuahkan hasil apabila dua gimnas negara meraih dua pingat emas selepas Sie Yan dan Izzah mengumpul mata sama dalam acara itu di Kompleks Sukan Rizal Memorial.

Sie Yan dan Izzah masing-masing meraih 15.200 mata untuk dikalung emas manakala atlet Thailand, Nat Kulsanawong membawa pulang gangsa selepas mencatat 14.050 mata.

Berdasarkan keputusan awal juri, Sie Yan diangkat sebagai pemenang dengan alasan markah rutin atlet berusia 20 tahun itu lebih tinggi.

Namun, keputusan itu berubah selepas Megat dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria membantah keputusan itu.

Berdasarkan temasya sebelum ini, atlet yang meraih jumlah mata sama pernah diberi kemenangan bersama seperti berlaku di temasya Sukan Sea 2015 di Singapura.

Upacara penyampaian pingat yang tertangguh selama satu jam akhirnya diteruskan dengan kedua-dua atlet negara diumumkan sebagai pemenang pingat emas.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*