Rugi Malaysia tak sertai ACC – Khalid

Malaysia sah tidak akan menyertai Kejuaraan Kelab Asean (ACC) yang julung kali dianjurkan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang dijadualkan berlangsung dari bulan Mac-November ini.

Berdasarkan jumlah penyertaan pasukan dimuktamadkan, hanya Malaysia dan Timor Leste tidak akan menyertai saingan itu dengan sembilan lagi negara lain mengesahkan penyertaan mereka.

Kelab dari Thailand yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini, Chiangrai United turut menyertai ACC, selain PT Prachuap.

Kedua-duanya masing-masing menjuarai Liga Satu Thai dan Piala Liga Thai musim lalu.

Malah, Vietnam (Hanoi FC dan Ho Chi Minh City FC) dan Indonesia (Bali United dan Persebaya) turut menghantar dua wakil manakala Singapura (Tampines Rover) dan Myanmar (Shan United) mempertaruhkan satu pasukan.

Kesemua lapan pasukan ini akan layak secara automatik ke peringkat kumpulan, sementara empat lagi pasukan dari Filipina (Ceres Negros), Kemboja (Svay Rieng FC), Laos (Lao Toyota) dan Brunei (Indera) akan menempuh pusingan playoff bagi menentukan dua lagi pasukan untuk melengkapkan 10 pasukan.

Difahamkan, ketiadaan wakil negara berpunca daripada ketegasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mahu saingan itu menerima pengiktirafan rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terlebih dahulu.

Selain itu, kekangan masalah jadual Liga Malaysia yang terlalu ketat dan keutamaan untuk melihat kelab negara beraksi dalam kejohanan diiktiraf AFC seperti ACL dan Piala AFC antara punca mengapa ACC dipandang sepi.

Malah, syarat kejohanan yang meletakkan wakil sesebuah negara haruslah datang sebagai juara atau naib juara liga utama.

Bagaimanapun, tindakan badan induk tempatan itu mengenepikan saingan ACC di tempelak bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali yang menyifatkan ia suatu kerugian.

“Bagi saya ketiadaan wakil dari Malaysia memang rugi kerana ini peluang pemain tempatan menonjolkan diri selain keuntungan dari hak penyiaran yang boleh diraih. Kalau Piala AFF cukup hebat sambutannya, sudah tentu ACC pun akan berlangsung hebat kerana penduduk Asia Tenggara ini memang ‘g1la’ bola.

“Kalau alasan sebab tak dapat pengiktirafan AFC kenapa pula Thailand dan Vietnam yang jauh kuat pasukan kebangsaan mereka sertai ACC. Bagi saya ini kesilapan dan rugi buat kita,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : HM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*