Pahang Rangers jalin kerjasama dengan kelab terkemuka Sepanyol

Kelab futsal Pahang Rangers menjadi pasukan futsal pertama dari Malaysia yang menjalinkan kerjasama dengan kelab luar negara apabila menandatangani Memorandum Persefahaman bersama kelab terkemuka dari Sepanyol, Levante UD di Zenith Putrajaya tengahari tadi.

Pahang Rangers telah diwakili Presiden YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah manakala Levante UD diwakili oleh Presiden Francisco Javier Catalan Vena.

FOTO: FB Pahang Rangers

 

Presiden kelab berkenaan, Tengku Fahd berkata, pihaknya akan menghantar pemain dan jurulatih ke Sepanyol untuk menjalani sesi latihan bersama pasukan itu selain membawa jurulatih kelab dunia itu ke sini.

“Banyak kerja keras telah diletakkan untuk kami sampai ke tahap ini, kami bermula sebagai sebuah pasukan kecil yang bercita-cita tinggi beberapa tahun lalu dan kini pada 2020, kami gembira untuk mencatat satu sejarah baru dalam arena futsal, menjadi kelab pertama menjalin kerjasama dengan pasukan dari luar negara.

“Ia satu kebanggaan buat kelab ini untuk mendapat tunjuk ajar dan perkongsian pengetahuan daripada kelab besar seperti Levante dalam usaha bukan sahaja untuk membangunkan pemain dan jurulatih Pahang Rangers tetapi pembangunan futsal di Malaysia secara keseluruhan.

“Secara ringkas, dengan kerjasama ini, perancangan kami adalah untuk membenarkan pemain, jurulatih dan pengurusan untuk belajar daripada salah satu kelab terbesar dan paling berjaya di Sepanyol, baik futsal mahupun bolasepak. Seperti kita tahu Liga Futsal Sepanyol adalah antara terbaik di dunia,” katanya.

Selain itu, Pahang Rangers turut merancang untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan sebuah kelab futsal dari Thailand dalam usaha untuk meningkatkan kualiti futsal negara.

FOTO: Pahang Rangers

 

“Selain kelab Levante, kita juga akan menjalinkan kerjasama dengan kelab futsal Chonburi Blue Wave yang terkenal di Thailand pada Februari depan. Sebelum ini kita sudah pun menghantar dua pemain Pahang Rangers untuk berlatih selama empat minggu bersama kelab itu tahun lalu.

“Dengan termeteranya MOU antara Pahang Rangers dan kelab Chonburi ini kelak, kita akan menyaksikan lebih banyak kerjasama diadakan antara kedua-dua kelab,” katanya.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Harimau Malaya

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @HarimauMalaya

Sumber : vocketfc

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*